15 Fakta Imam Syafie Akan Digelar Wahabi


15 fakta imam syafie ditohmah wahabi

Berikut ialah 15 amalan atau ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan mereka yang ditohmah dan dilabel dengan gelaran Wahhabi.

Mari kita lihat ciri-ciri yang dimaksudkan dan para ulamak bermazhab Syafie yang turut serta memiliki ciri-ciri tersebut.

Qunut Solat Subuh

Pertama: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melakukan qunut solat subuh secara terus-menerus. Maka Imam Taqiyuddin as-Subki asy-Syafie dan Syeikh Abu Hasan al-Karajji asy-Syafie juga ialah Wahhabi kerana mereka meninggalkan qunut subuh atas alasan kelemahan hadisnya.

– Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, Ma’na Qaul al-Imam al-Muththalibi Idza Shahhal Hadits Fahuwa Madzahbi (Majmu’atur Rasa-ilil Muniriyyah)dan Thabaqat asy-Syafi’iyyah al-Kubra.

Tidak Melaksanakan Solat Sunat Qabliyyah Solat Jumaat

Kedua : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melaksanakan solat sunat qabliyyah dua rakaat (sebelum) solat Jumaat. Maka al-Hafizh al-'Iraqi asy-Syafie dan Imam Abu Syamah asy-Syafie serta al-Imam Abi al-Thayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim al-Abadi juga ialah Wahhabi kerana mereka melemahkan pandangan yang mensabitkan solat sunat dua rakaat sebelum Jumaat.

– Lihat al-Ba’its al-Inkaral-Bida’ wa al-Hawadits,Tharh al-Tsarib dan‘Awn al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud.

2 Kali Azan Jumaat

Ketiga : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bersetuju dengan azan dua kali Jumaat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang cenderung kepada Sunnah Nabi, iaitu azan Jumaat hanya sekali di zamannya.

– Lihat kitab al-Umm.

Kenduri Arwah

Keempat : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang membenci kenduri arwah. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para imam bermazhab Syafie selainnya seperti Syeikh Mustafa Khin asy-Syafie, Syeikh Mustafa al-Bugha asy-Syafie, Syeikh ‘Ali al-Syarbaji asy-Syafie, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari asy-Syafie, Syeikh Daud al-Fatani asy-Syafie, Syeikh Zainul Abidin Muhammad al-Fatani dan ramai lagi.

Ini kerana mereka semua amat membenci amalan kenduri arwah.

– Lihat kitab al-Umm, kitab I’anatu ath-Thalibin, Kashfu al-Litham, Sabil al-Muhtadin, Bughyatul Tullab dan kitab al-Fiqh al-Manhaj ‘Ala Madzhab al-Imam asy-Syafie.

Taqlid Dalam Beragama

Kelima : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bermazhab dan menentang taqlid buta dalam beragama (ikut membuta tuli). Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana tidak bermazhab kepada mazhab-mazhab yang muncul sebelumnya, antaranya ialah Imam Malik (mazhab Maliki), iaitu gurunya sendiri. Juga Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana menetang keras amalan bertaqlid buta dalam beragama.

– lihat kitab Manaqib asy-Syafie, Siyar A’lam al-Nubala’, Hilyatul Auliya’dan Tarikh Dimasyqi.

Menunaikan Zakat

Keenam : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menunaikan zakat dengan makanan ruji seperti gandung, tamar, beras dan seumpama. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana memfatwakan zakat fitrah hendaklah menggunakan makanan ruji, bukan wang sebagaimana amalan umat Islam di Malaysia - termasuk mereka yang mengaku bermazhab Syafie.

– Lihat Kitab al-Umm.

Lafaz 'Sayyidina' Ketika Berselawat

Ketujuh : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidakmembaca lafaz ‘Sayyidina' ketika berselawat ke atas Nabi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah menulis di dalam mana-mana kitabnya, baik kitab al-Umm mahupun kitab al-Risalah.

Demikian juga Wahhabilah al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani asy-Syafie yang turut menyinggung permasalahan ini di dalam kitabnya yang terkenal,Fath al-Bari (syarah kepada al-Bukhari).

Bacaan Yasin Malam Jumaat

Kelapan: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak mengkhususkan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat tetapi menggalakkan surah al-Kahfi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang memfatwakan disukai membaca surah al-Kahfidi malam Jumaat atas alasan ia menepati Sunnah Nabi. Tambahan pula tidak ditemui dalam mana-mana kenyataannya atau pun para ulamak selainnya tentang galakkan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat.

– Lihat kitab al-Umm.

Berdoa & Berzikir Dengan Suara Kuat

Kesembilan : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang enggan berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan dilakukan secara beramai-ramai selepas solat berjemaah. Jika demikian Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para ulamak bermazhab Syafie seperti Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitsami, Syeikh Zainuddin ‘Abd al-‘Aziz asy-Syafie, al-Imam al-Baihaqi asy-Syafie dan selainnya. Ini kerana mereka tidak pernah mengajarkan demikian dalam kitab-kitab mereka. Sebaliknya hanya membolehkan berzikir berjemaah (baca: bukan doa) dalam konteks mengajar makmum sahaja, bukan selalu.

– Lihat kitab al-Umm, at-Tahqiq,Minhaj ath-Thalibin, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarah al-Minhaj, Fath al-Bari, Fath al-Mu’indan Sunan al-Kubra al-Baihaqi.

Niat Sebelum Solat

Kesepuluh : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melafazkan niat sebelum solat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah mengajarkan amalan demikian.

Demikian juga Wahhabilah al-Qadhi Abu al-Rabi’ Sulaiman bin ‘Umar asy-Syafie kerana menyatakan amalan melafazkan niat sebelum solat itu bukan berasal daripada Sunnah Nabi yang sahih.

– Lihat kitab al-Qaul al-Mubin Fi Akhtha’ al-Mushallin.

Pahala Bacaan Al-Quran Kepada Si Mati

Kesebelas : Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menafikan sampainya pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie, Syeikh al-Haitsami asy-Syafie dan selainnya yang berpendapat tidak sampai pahala bacaan al-Qur’an yang dikirimkan kepada si mati.

– Lihat Tafsir Ibn Katsir, al-Majmu’ Syarah Muhadzdzabdanal-Fatwa al-Kubra al-Fiqhiyyah.

Mengkapur & Binaan Di Atas Kubur

Kedua belas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang melarang mengkapur dan membina binaan di atas kubur. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan Imam al-Munawi yang menjelaskan kebencian Imam asy-Syafie kepada amalan membangun dan mengkapur kuburan sebagaimana yang mendarah daging dalam tradisi umat Islam yang.mengaku bermazhab Syafie.

– Lihat kitab al-Umm, Syarah Shahih Muslim danFaidh al-Qadir.

Sifat al-Istiwa’ Allah Di Atas ‘Arasy Di Langit, Sifat Turun

Ketiga belas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menetapkan sifat al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di atas langit, sifat turun (al-Nuzul) dan sebagainya tanpa takwil. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang menetapkan kedua-dua sifat itu dan selainnya tanpa sebarang pentakwilan ke atasnya. Demikian juga al-Imam adz-Dzahabi asy-Syafie yang turut menetapkan sifat-sifat Allah.

– Lihat kitab Tafsir Ibn Katsir dan al-‘Uluw Li al-‘Aliyyil ‘Azhim.

Sifat 20

Keempat belas : Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang tidak belajar dan berakidah dengan sifat 20. Maka demikian Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana tidak pernah mempelajari, apatah lagi mengajarkan sifat 20 itu. Tidak ada satu jua bukti beliau berpegang kepada kaedah pengajian sifat 20 dalam mana-mana kitabnya.

- Lihat kitab al-Umm dan al-Risalah.

Menyapu Muka Selepas Berdoa

Kelima belas : Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak menyapu muka selepas berdoa. Jika demikian maka Wahhabilah Imam al-Nawawi asy-Syafie yang menafikan kesunnahan menyapu muka selepas doa. Demikian juga Imam al-'Izz 'Abd as-Salam asy-Syafie yang menyatakan adalah bodoh orang-orang yang menyapu muka selepas berdoa.

-Dinyatakan di dalam'Irwa' al-Ghalil dan Shahih al-Adzkar wa Dha'ifuhu.

Dan banyak lagi jika hendak diperincikan. Rupanya Wahhabi ialah mereka yang menyelisihi kebiasaan masyarakat dan berpegang teguh kepada al-Qur'an serta as-Sunnah sahihah!

P/S: Diizinkan untuk menyebarluaskan nota ini. Lebih baik difotocopy dan diedarkan kepada orang ramai, khususnya mereka yang terpengaruh dengan fitnah ke atas pendukung sunnah yang dimomokkan dengan gelaran 'Wahhabi'.

 

Kredit: Pustaka Fathul Islam

Share on

Top